Russia sedia ambil balik 28 jet Sukhoi Su-30MKM, MIG-29 milik TUDM
VLADIVOSTOK: Russia menawarkan untuk mengambil balik 28 jet pejuang jenis Sukhoi Su-30MKM dan MIG-29 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang bermasalah jika Malaysia sedia menggantikannya dengan pesawat baharu buatan negara itu.
Tawaran itu dibuat Presiden Russia, Vladimir Putin dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di sini, semalam.
Russia juga menawarkan alat ganti baharu dan khidmat baik pulih jika Malaysia memutuskan untuk mengekalkan pesawat lama berkenaan.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata perbincangan mengenainya disentuh ketika kedua-dua pemimpin itu mengadakan perbincangan dua hala di sini, semalam.
Beliau berkata, Dr Mahathir memberitahu Putin kerajaan akan mempertimbangkan kedua-dua tawaran Russia.
Pertemuan itu diadakan di luar Forum Ekonomi Timur (EEF) 2019 di sini. Ini kali pertama Malaysia menghadiri forum berkenaan.
Bercakap kepada media Malaysia sejurus selepas Dr Mahathir berlepas ke Kyoto, Jepun, malam tadi, Saifuddin berkata dalam pertemuan itu Malaysia turut menjelaskan isu dikaitkan dengan minyak sawit, khususnya tindakan boikot oleh beberapa negara Kesatuan Eropah.
"Presiden Putin juga memberi jaminan akan menimbang untuk menambah pembelian minyak sawit Malaysia," katanya.
Dalam pertemuan itu, Dr Mahathir menyokong cadangan sebuah organisasi Russia untuk membina sebuah universiti aeroangkasa di Malaysia.
Saifuddin berkata, setakat ini belum ada kata putus namun kerajaan sedia menjadi pemudah cara supaya rundingan dapat diteruskan.
Difahamkan cadangan itu dibuat sebuah organisasi swasta kepada kerajaan semasa Pameran Udara dan Maritim Langkawi (LIMA) tahun ini.
Russia sedia ambil balik 28 jet Sukhoi Su-30MKM, MIG-29 milik TUDM
Reviewed by Administrator
on
5:52:00 AM
Rating:
No comments